Manfaatkan ICT untuk perkembangan bioteknologi
Perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara yang semakin pesat mencetuskan iltizam kepada kerajaan supaya ia dimanfaatkan untuk perkembangan bidang bioteknologi.
Berdasarkan kepada kemampuan negara menyediakan infrastruktur lengkap dalam bidang ICT, ia mendorong supaya kemudahan tersebut diberi nilai tambah dan memainkan peranan lebih penting bagi memajukan bidang bioteknologi negara.
Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Jamaludin Jarjis semasa merasmikan Persidangan SAP 2004 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Ia juga merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya kedua-dua bidang tersebut menjadi penjana kepada kemajuan ekonomi negara dan dinikmati oleh rakyat.
``Kita telah mempunyai infrastruktur yang baik dalam ICT yang boleh membantu kepada perkembangan bidang bioteknologi,'' katanya
Menurut Jamaludin, antara langkah yang dirancang ialah memperkenalkan insentif bagi menarik lebih banyak pelabur terlibat dalam ICT dan juga bioteknologi.
Langkah lain yang diambil oleh kementerian terbabit seperti yang dinyatakan Jamaludin ialah menggunakan khidmat syarikat perunding seperti firma audit bagi mencari mekanisme yang sesuai dalam menyediakan insentif yang boleh digunakan sama ada kewangan, cukai atau aspek-aspek lain.
Kejayaan China dan India memajukan bidang ICT dan bioteknologi mereka juga memberi inspirasi kepada kerajaan untuk menjadikan negara-negara berkenaan sebagai model bagi memajukan dalam bidang bioteknologi negara
``Kerajaan berpendapat sudah sampai masanya kemajuan ekonomi negara digerakkan daripada sumber pengetahuan dan bukan lagi bergantung kepada tenaga buruh dan sumber alam, `` kata Jamaludin.
Pada masa yang sama, penyelidikan dalam bidang bioteknologi perlu diperbanyakkan manakala kemudahan makmal dipertingkatkan memandangkan bidang ini merupakan industri yang sedang berkembang.
Sejajar dengan matlamat tersebut, beliau berkata, Makmal Sementara Institut Genomik dan Biologi Molekul, Pusat Teknologi Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (UKM-MTDC) akan mengadakan kerjasama dengan Pusat Genom Berkeley dan Universiti Stamford di Amerika Syarikat.
Utusan Malaysia, Sabtu, 19 Jun 2004
Tuesday, November 18, 2008
Aplikasi Perdana
Subscribe to:
Posts (Atom)